Monday, 10 October 2016

TUGASAN INDIVIDU IFOLIO - YAP QIAO XIN (A154025)

(A) Dalam mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik
demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan bagaimanakah semua 
orang mesti bersatu semula demi masa depan tamadun?

Perpaduan di antara rakyat berbilang kaum adalah asas yang kukuh untuk pembinaan negara. Negara tidak mungkin dapat membangun di dalam apa bidang sekalipun jika sekiranya rakyat tidak dapat bersatu hati dan enggan bekerjasama. Kita akur dengan kata-kata seperti “Muafakat membawa berkat”. Kita akui kebijaksanaan kata-kata pusaka “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.” Negara hanya dapat dibina di dalam suasana yang aman dan damai. Ketenteraman ini hanya dapat dijamin dengan adanya persefahaman di antara rakyat.
Pertama sekali, rakyat mesti bersatu semula apabila negara diancam oleh penjajah atau musuh. Apabila negara diceroboh, mempertahankan negara daripada ancaman dan serangan tersebut menjadi tanggungjawab semua masyarakat berbilang kaum di negara ini. Kita sering melaungkan “Bersatu Teguh Bercerai Runtuh”. Masyarakat yang bersatu padu akan membina satu bangsa yang berdaulat dan maju serta mewujudkan sebuah negara yang aman dan damai. Walaupun dalam masa-masa tertentu wujud suara-suara pelampau yang cuba melemahkan solidariti rakyat dengan cara membangkitkan isu-isu perkauman dan keagamaan, namun hal itu dapat dibendung dengan baik sekiranya semangat perpaduan diperkukuhkan antara rakyat. Rakyat sepatutnya memelihara negara ini daripada sebarang bentuk ancaman subversif dan golongan pelampau agama dan kaum. Hakikatnya, solidariti rakyat yang tinggi berjaya mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat. Majoriti rak­yat tidak termakan dakyah jahat yang cuba dimainkan oleh musuh negara, sama ada musuh dari dalam mahupun dari luar.
Namun, perpaduan sering diganggu-gugat oleh permainan politik yang tidak matang dan tidak mengutamakan kepenting­an nasional. Media sosial dijadikan saluran untuk mencetuskan provokasi perkauman dan keagamaan, menyebarkan fitnah dan kebencian politik. Kesan daripada permainan politik yang tidak matang, pe­nyalahgunaan media sosial yang menyentuh sensitiviti hubungan etnik di negara ini menyebabkan perpaduan rakyat sedikit tergugat. Perpaduan yang kukuh dan kestabilan politik amat penting untuk memberi ruang yang cukup sihat untuk kerajaan melaksanakan segala dasar pembangunan dengan lancar dan berkesan. Dengan itu, semangat perpaduan di negara kita hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat demi negara yang tercinta dan dapat menyambut objektif negara impian.
            Di samping itu, rakyat mesti bersatu semula apabila ketidakstabilan politik berlaku. Ketidakstabilan politik sesebuah negara berpotensi membawa kepada pelaksanaan dan tindakan-tindakan luar jangka seperti rusuhan, demonstrasi, bantahan, tunjuk perasaan dan sebagainya. Melihat kepada keadaan ini, terdapat kemungkinan negara tersebut akan mengalami implikasi negatif.  Ketidakstabilan politik dalam sesebuah negara menganggu pertumbuhan ekonomi tersebut disebabkan rusuhan, tunjuk perasaan dan sebagainya. Hal yang demikian mencerminkan imej negara yang tidak selamat dan tidak berpotensi dalam ekonomi sekaligus menyebabkan pelabur asing hilang minat untuk melabur dalam negara tersebut. Oleh yang demikian, rakyat harus bersatu untuk menangani masalah ini. Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat boleh menghapuskan pemimpin yang tidak bertanggungjawab atau tidak beramanah. Rakyat harus bersatu-padu untuk membantah sistem politik yang tidak bermanfaat terhadap rakyat.
            Selain itu, rakyat juga harus bersatu semasa menghadapi bencana alam. Rakyat mesti bekerjasama dan saling membantu untuk menangani masalah ini. Kemusnahan persekitaran dan pengorbanan nyawa akan berlaku ketika negara diancam oleh bencana alam. Oleh itu, kontribusi oleh semua rakyat adalah penting. Kerjasama antara rakyat boleh menyenangkan dan mencepatkan kerja-kerja membaik pulih.

            Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara. Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Kita harus ingat bahawa proses menyatukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini bukannya satu usaha yang mudah. Hal itu me­nuntut penyatuan tenaga, fikiran dan pengorbanan dalam kalangan anggota masyarakat. Menerusi penyatuan dan perpaduan ini dapatlah kita berusaha menangani cabaran-cabaran seterusnya bagi merealisasikan wawasan gemilang sebagai bangsa Malaysia yang berkeyakinan, demokratik, makmur, bertolak ansur, bermoral dan beretika.



(B) PUISI
Tema: Ketamadunan

Cepatnya berubah wajah kotaku
Bangunan tinggi tandanya maju
Tanah luas sesayup pandangan
Melahirkan ribuan wira pahlawan.

Telah lahir semangat pejuang
Memimpin rakyat ke arah perpaduan
Telah lahir putera bangsawan
Memercikkan kegemilangan negara ke mata dunia.

Kepada tuan pemimpin budiman
Ingatlah ini satu pesanan
Jika tuan sayang keturunan
Jangan jual kuasa di tangan.



(C) DAYA PERSEPSI

Dari pandangan orang Melayu, Islam bukan agama keganasan. Ia adalah agama kesejahteraan, keharmonian dan agama perdamaian. Sebarang tohmahan terhadap Islam sebagai ganas adalah tidak benar sama sekali. Walaupun Islam mengajak umatnya berperang menegakkan serta mempertahankan agama, maruah dan harga diri, Islam tidak mengizinkan umatnya bermaharajalela di medan peperangan. Islam mengawal dan mengajar umatnya agar nilai-nilai keluhuran dan akhlak tetap dipatuhi walaupun dalam peperangan. Malah, banyak ayat al-Qur’an yang melarang umat Islam daripada bermusuhan dengan orang bukan Islam kecuali jika mereka dahulu yang memulakan permusuhan. Selain itu, Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan contoh yang sangat baik dalam hal ini. 
Jihad mempunyai maksud yang luas. Jihad adalah usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh dan tidak semestinya membawa kepada peperangan atau pertempuran. Agama Islam tidak pernah mengajar umatnya berpecah belah dan bermusuh-musuhan, sebaliknya menyeru perpaduan dan keamanan. Jika terdapat anasir-anasir atau ancaman yang hendak merosakkan agama Islam, ianya hendaklah ditangani dengan cara yang berhemah, bukan dengan keganasan, kekacauan dan berbunuh-bunuhan. Islam tidak bermaksud untuk mengangkat sesuatu bangsa dengan menjajah bangsa yang lain. Apa yang dipentingkan oleh Islam ialah kebahagiaan dan keamanan manusia seluruhnya. 
Islam bererti tunduk dan menyerah. Setiap Muslim wajib tunduk dan patuh serta menyerahkan diri hanya kepada Allah s.w.t. Islam tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk memeluk dan menganut agamanya. Apabila kita memahami dan meneliti pengertian Islam, dapatlah disimpulkan bahawa Islam adalah agama kesejahteraan, kedamaian dan ketenangan.
Dari pandangan orang Cina, orang Cina bersifat pragmatik terhadap agama dan kepercayaan. Di Malaysia sejak merdeka sehingga konflik kaum 1969, agama bukanlah isu sensitif yang merenggangkan hubungan kaum di Malaysia. Orang Cina menyatakan bahawa Islam tidak pernah menggalakkan penganutnya membuat keganasan. Begitu juga dengan agama lain. Setiap keganasan yang dilakukan adalah kesalahan individu. Bukannya kesalahan agama.
Orang Islam di Malaysia tidak membuat keganasan pada orang bukan Islam sedangkan majority penduduk Malaysia adalah orang Islam. Setiap agama mengajar umatnya menjadi baik. Umat Islam yang terlibat dalam keganasan bukan disebabkan oleh pengajaran agamanya tetapi diri sendiri mereka yang bersifat negatif.
Dari pandangan bangsa lain, sesungguhnya Islam mendahului undang-undang antarabangsa yang melarang pembunuhan ke atas orang awam, kanak-kanak dan orang tua, menyerang rumah-rumah ibadat, hospital dan kediaman awam, sebaliknya peperangan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar pada hari ini menyerang apa sahaja tanpa mengira kanak-kanak dan wanita. Kewujudan pelbagai harakah, gerakan Islam, badan-badan dakwah dan tabligh di dunia Islam, sama ada pada peringkat negara mahu pun antarabangsa, dengan idea dan pemikiran yang berbeza-beza. Umat Islam hari ini tidak mempunyai satu suara.
Penguasaan Barat terhadap media utama dunia mempercepatkan lagi serangan propaganda mereka terhadap agama ini, imejnya, ajarannya dan anutannya, serta penganut dan negara-negara Islam. Mereka dilihat sebagai pelopor, pencetus dan penganjur keganasan serta anti Barat. Satu prasangka yang amat tidak berasas sama sekali. Islam menentang keganasan. Dan Islam bukanlah anti Barat. Hanyalah penganutnya yang berfahaman ekstrim atau tidak memahami ajaran Islam yang sebenarnya yang memusuhi Barat. Prejudis Barat juga terserlah apabila terdapat beberapa negara Islam yang enggan tunduk kepada kehendak dan cita-cita mereka akan dilabel sebagai negara pengganas. 


(D)  REFLEKSI ILMU KETAMADUNAN 

10 cara supaya Tamadun Malaysia akan bertahan lebih lama daripada keruntuhan akibat globalisasi dan lain-lain faktor. 
  1.   Mengekalkan warisan budaya supaya mempunyai identiti tersendiri.
  2. Mamajukan budaya intelektual
  3. Memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat.
  4. Interaksi antara tamadun
  5. Mewujudkan dan mengembangkan sistem kepercayaan
  6. Menyerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat serta mengukuhkan nilai pegangan masyarakatnya dengan menelusuri falsafah dan sistem kepercayaan
  7. Mendidik masyarakat
  8. Mengamalkan sikap keterbukaan
  9. Menjaga hak kemanusiaan
  10. Memajukan bidang sains dan teknologi
  11. Mengukuhkan politik atau pemerintahan tamadun
  12. Bersikap toleransi dengan tamadun lain
  13. Menentang kezaliman

No comments:

Post a Comment