(A) REFLEKSI ILMU KETAMADUNAN
10 cara supaya Tamadun Malaysia akan bertahan lebih lama daripada keruntuhan akibat globalisasi dan lain-lain faktor.
1) Masyarakat Malaysia perlu hormat menghormati antara satu sama lain walaupun perbezaan kepercayaan
2) Pemimpin melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah
3) Pemimpin negara menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin-peminpin di luar negara dan negara jiran
4) Negara perlu melaksanakan sistem perundangan yang dapat membuatkan rakyat berada dalam keadaan aman dan tenteram
5) Negara perlu meningkatkan ilmu infrastruktur dan teknologi di dalam negara tersebut
6) Masyarakat perlu mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh perundangan negara
7) Negara perlu menstabilkan politik di dalam dan di luar negara
8) Negara perlu meningkatkan ekonomi negara dengan meningkatkan aktiviti eksport barangan tempatan di luar negara dan negara jiran.
9) Pemimpin perlu meningkatkan keselamatan negara dengan memberikan latihan ketenteraan yang padu kepada tentera dan ahli keselamatan negara yang lain
10) Masyarakat perlu mengubah tanggapan negatif terhadap orang di sekeliling mereka
(B) DAYA PERSEPSI
Di kalangan sebahagian media Barat cuba menonjolkan Islam adalah agama keganasan dan dikaitkan dengan perkataan Jihad. Berdasarkan temuduga kamu berkaitan hal ini dengan pelbagai etnik dari rakan2 kamu di UKM. Apa pandangan orang Cina di Malaysia? Apa pandangan orang Melayu di Malaysia? Apa pandangan bangsa2 lain di Malaysia?
Pada masa ini, kita sering mendengar agama Islam dikaitkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan keganasan. Perkara ini dapat kita lihat atau di dengar di seluruh dunia melalui media sosial, media massa dan seangkatannya. Perkara ini juga semakin menuju ke tahap yang lebih serius apabila dunia digemparkan dengan kewujudan anggota ISIS( Islamic State of Iraq and Syria ). Hal ini demikian kerana kita dapat melihat daripada media bahawa mereka sering melakukan aktiviti- aktiviti seperti menangkap beberapa orang barat dan menjadikan orang tersebut sebagai tebusan. Ini membuatkan lagi orang sekeliling atau masyarakat di luar sana takut terhadap Islam. Akibat daripada ketakutan beberapa masyarakat di luar sana terhadap Islam menyebabkan timbulnya satu ideologi yang lain iaitu Islamophobia. Sesungguhnya Islam itu adalah agama rahmat kepada seluruh manusia di dunia ini.
Berdasarkan temuduga saya dengan seorang rakan Cina saya berkaitan perkara ini, dia berpendapat bahawa tiada agama yang akan mengajar insannya berbuat jahat. Setiap perbuatan kita yang tidak bermoral akan mendapat balasan daripada Tuhan. Dia juga mengatakan bahawa pandangan serong yang diberikan oleh orang di luar sana yang tidak menyukai agama Islam adalah salah kerana dia berpendapat bahawa agama Islam bukanlah agama keganasan. Dia juga menyeru agar sifat mengkritik agama lain yang ada di dalam diri seseorang individu itu haruslah diubah agar semua manusia di dunia dapat hidup dengan aman dan tenteram tanpa ada perbalahan yang berlaku.
Selain itu, bagi pendapat rakan saya yang berbangsa Melayu pula, dia memberi pandangan bahawa Islam itu bersifat sederhana dan tidak menggalakkan umat Islam bertelingkah dengan orang yang berlainan pendapat. Dia juga mengatakan bahawa jihad itu membawa maksud memperjuangkan Islam melalui peperangan. Di sini dia menekankan bahawa maksud 'melalui peperangan' adalah apabila Islam itu ditindas barulah umat Islam akan mengangkat senjata untuk melakukan keadilan terhadap penindasan yang dilakukan tersebut. Perkara ini ingin dijelaskan bahawa Islam akan mempertahankan agamanya apabila terdapat entiti yang melakukan penindasan terhadap Islam. Islam tidak menunjukkan kekuatan agama secara membuta tuli melalui peperangan tanpa ada sebab yang kukuh. Dia juga mengatakan bahawa Islam tidak mengajar umatnya membunuh umat manusia yang tidak berdosa sewenang-wenangnya. Dia juga menegaskan bahawa media barat sengaja mengaitkan isu keganasan dengan agama Islam demi untuk menakutkan masyarakat di sekeliling terhadap Islam itu sendiri.
Saya juga meminta pandangan daripada rakan yang berbangsa India berkaitan isu ini. Dia mengatakan bahawa dia tidak beberapa pasti dan tidak mengetahui sangat berkaitan perkara ini tetapi dia mengetahui beberapa perkara berkaitan perkataan jihad. Dia berpendapat bahawa jihad yang dilakukan oleh umat Islam ialah melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang diingini dengan cara yang baik.
(C) CIPTA PUISI KETAMADUNAN
Kamu seorang sasterawan negara dan dijemput mendeklamasikan satu puisi bertemakan isu-isu ketamadunan... samada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Tuliskan puisi tersebut hanya 10-15 baris sahaja.
Bumiku Malaysia,
Tempat di mana aku dilahirkan sebagai seorang manusia,
Dengan suasana aman dan sentosa,
Aku gembira menetap di sana.
Kini,
Aku merasakan dunia ini semakin dizalimi,
Terdapat banyak pembunuhan di sana sini,
Sampaikan tidak dapat dikawal lagi,
Adakah ini manusia yang mempunyai ketamadunan di dalam diri?
Ya tuhanku,
Pimpinlah diri ini menjadi manusia yang berprestasi tinggi,
Mempunyai akhlak dan budi pekerti,
Agar masyarakat sekeliling dapat mencontohi,
Dan akhirnya dapat melahirkan individu yang mempunyai ketamadunan di dalam diri.
(D) KEPELBAGAIAN DALAM KESATUAN
Dalam mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan bagaimanakah semua orang mesti bersatu semula demi masa depan tamadun? Diskus dengan rakan-rakan anda.
Sesebuah tamadun itu, memang sukar untuk menangani masalah perbezaan pendapat di antara masyarakat dan pelbagai parti politik. Hal ini demikian kerana sememangnya lumrah seseorang manusia itu mempunyai pendapat masing-masing berdasarkan apa yang difahami olehnya. Melalui perbezaan pendapat juga terdapat input positif kerana melalui perkara tersebut, kita dapat menjana idea-idea yang berbeza pada setiap peringkat manusia. Kepelbagaian parti politik juga perlu ada pada setiap tamadun kerana setiap sesuatu perkara itu mesti terdapat pihak yang menyokong dan terdapat juga pihak yang tidak menyokong. Perkara ini secara positifnya dapat mengadakan perbincangan antara kedua-dua pihak terhadap sesuatu perkara atau masalah. Saya cukup tertarik dengan kata-kata yang boleh dilihat di dalam pengangkutan awam di Malaysia, antaranya monorel iaitu "Perbezaan dihormati, Persamaan dirai". Dari kata-kata ini, kita boleh mengatakan bahawa kita tidak boleh menyekat hak kebebasan bagi setiap masyarakat untuk mempunyai pendapat masing-masing.
Dalam mengukuhkan masa depan tamadun kita yang telah dibina ini, semua masyarakat perlu bersama-sama untuk menangani pengaruh budaya luar daripada merasuki rakyat tempatan terutamanya warga remaja. Hal ini demikian kerana kebanyakan remaja kita mudah terjebak dengan budaya luar ini. Budaya luar ini ada yang bersifat positif tapi kebanyakan budaya yang diambil oleh golongan remaja pada masa kini adalah budaya yang tidak sihat. Antaranya tarian yang pelik, mengadakan hubungan intim dan meminum arak. Semuanya berkait rapat dengan keseronokan dan membawa kepada kerosakan akhlak remaja. Oleh itu, semua masyarakat perlulah berganding bahu menangani masalah ini kerana siapa lagi yang akan memimpin negara kita kelak jikalau bukan golongan remaja pada masa kini.
Selain itu, semua lapisan masyarakat juga perlu bersatu meningkatkan imej negara dari segala aspek termasuk pendidikan, ekonomi, teknologi dan sukan. Hal ini demikian kerana jika negara kita ingin mengekalkan tamadun kita ini, kita perlulah membuatkan negara kita dikenali oleh semua negara luar. Walaupun negara kita ini kecil jika hendak dibandingkan dengan negara-negara yang besar di luar sana, kita masih boleh buatkan negara kita menyerlah pada pandangan mereka. Dengan cara, menggalakkan aktiviti eksport barangan tempatan ke luar negara untuk meningkatkan ekonomi negara. Dengan pendidikan juga, kita boleh meningkatkan imej negara dengan menghantar pelajar kita yang mempunyai prestasi yang baik ke sana.
Kesimpulannya, semua rakyat perlulah memainkan peranan masing-masing untuk membuatkan tamadun Malaysia ini dapat dikukuhkan sehingga beberapa tahun yang akan datang.
No comments:
Post a Comment